Gawai 2026: Kampung Annah Rais Bangkitkan Semangat Kebersamaan, Budaya dan Komuniti

Inisiatif komuniti setempat dengan sokongan Coca‑Cola Malaysia

Sambutan Hari Gawai di Kampung Annah Rais diraikan dengan penuh meriah oleh komuniti setempat dan para pengunjung

 

ANNAH RAIS, 2 JUN 2026 – Sambutan Hari Gawai di Kampung Annah Rais tahun ini diserikan dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara apabila komuniti setempat membuka pintu rumah panjang mereka kepada orang ramai untuk berkongsi kemeriahan perayaan Hari Gawai, budaya serta kemesraan masyarakat Bidayuh dalam suasana penuh kebersamaan.

Berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Jun 2026, komuniti setempat menerima lebih daripada 9,000 pengunjung yang hadir ke rumah panjang untuk merasai sendiri sambutan Hari Gawai yang diwarisi turun-temurun. Para pengunjung berpeluang menyertai persiapan tradisional, menikmati kemeriahan rumah terbuka serta menyaksikan persembahan kebudayaan yang mempererat ikatan komuniti. Dengan sokongan Coca‑Cola Malaysia, program yang diterajui komuniti ini menampilkan semangat Hari Gawai yang sebenar, iaitu sebuah perayaan yang menghubungkan masyarakat melalui kerjasama, tradisi dan kemeriahannya. Turut menyerikan sambutan ialah kehadiran YB Datuk Dr. Jerip Susil, Timbalan Menteri Pengangkutan I, yang bersama-sama komuniti meraikan Hari Gawai di Kampung Annah Rais.

Sambutan yang Diterajui Komuniti

Berteraskan budaya masyarakat Bidayuh, tradisi Ngabang atau rumah terbuka menjadi ruang yang menyatukan komuniti apabila penduduk kampung dan pengunjung berkongsi juadah, bertukar cerita dan gelak tawa. Seluruh kampung dihidupkan dengan persembahan muzik tradisional serta tarian tradisi yang berlangsung dari siang hingga malam, mewujudkan pengalaman bermakna untuk semua peringkat umur.

Pertandingan Ratu Cantik Dayung Sangun menyerikan lagi suasana sambutan apabila empat peserta tampil di atas pentas menyerlahkan keyakinan diri, kebanggaan terhadap tradisi serta keunikan personaliti masing-masing. Sonia Vivian Rua Anak Gabriel daripada suku Bidayuh-Biannah diumumkan sebagai pemenang di hadapan sorakan para pengunjung.

Turut menjadi tumpuan ialah bazar komuniti yang menawarkan pelbagai hasil kraftangan tempatan, makanan tradisional, produk segar dan cenderamata buatan tangan. Bazar ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Gawai, tetapi turut memberi peluang kepada penduduk kampung untuk berkongsi hasil usaha dan kisah mereka bersama para pengunjung.

Sentuhan Moden Melengkapi Keunikan Tradisi

Sebagai sebahagian daripada sambutan tahun ini, sebuah struktur sementara berbentuk botol Coca‑Cola turut dipamerkan, dihasilkan menggunakan padi yang disumbangkan oleh komuniti setempat sebagai simbol penghargaan kepada para petani semasa musim menuai. Dengan menyatukan tradisi dan kreativiti, struktur tersebut turut menjadi pintu masuk kepada pengalaman augmented reality (AR), yang membolehkan pengunjung meneroka kisah, budaya dan warisan masyarakat Bidayuh melalui penceritaan digital yang interaktif dan moden.

Satu lagi detik bersejarah bagi sambutan ini ialah konvoi mural Coca‑Cola yang memasuki Kampung Annah Rais pada 1 Jun. Inisiatif yang dijayakan dengan kerjasama Grab Malaysia dan komuniti setempat itu berjaya menerima pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records bagi Konvoi Kereta E-Hailing Terbanyak dalam Festival Gawai yang menjadi simbol kebanggaan bagi sambutan tersebut.

Menjelang malam, Kampung Annah Rais dimeriahkan pula dengan pertunjukan laser yang menerangi langit dan mencipta detik penuh keterujaan selepas para pengunjung melalui hari yang padat dengan pelbagai aktiviti. Sepanjang dua hari sambutan, pengunjung dari pelbagai peringkat umur terlibat dalam pelbagai aktiviti interaktif yang membolehkan mereka meneroka, bermain dan menjelajahi setiap sudut kampung. Pengalaman ini bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, malah menambah semangat kebersamaan dan keceriaan Hari Gawai.

Semangat Gawai Melalui Suara Komuniti

Ketua Kaum Annah Rais, Tn Joda Mamung, berkata:

“Hari Gawai sentiasa menjadi detik kebersamaan, dan kami amat berbesar hati dapat membuka pintu kami kepada para pengunjung untuk berkongsi keindahan tradisi kami. Buat pertama kali juga, kami berbesar hati menerima Coca‑Cola sebagai sebahagian daripada sambutan tahun ini. Sokongan mereka memberi nilai tambah kepada pengalaman Hari Gawai, dan kami gembira dapat berkongsi detik bermakna ini bersama-sama. Kami berharap para pengunjung pulang dengan kenangan indah dari kampung kami. Di samping itu, program ini turut memberi peluang ekonomi kepada penduduk kampung serta memperkenalkan budaya tempatan dan nilai keramahan kami kepada para pengunjung.”

Selaras dengan semangat Hari Gawai, sokongan Coca‑Cola memberi tumpuan kepada komuniti yang menjadi nadi kepada sambutan tesebut — daripada persiapan sehinggalah ke hari perayaan, sambutan ini membuka ruang untuk hubungan sesama masyarakat terjalin secara alami — sama ada ketika bekerja, meraikan mahupun berehat.

Khairul Anwar, Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca‑Cola Malaysia, Singapura dan Brunei, berkata:

“Apa yang kami saksikan di Kampung Annah Rais mencerminkan bagaimana budaya mampu menyatukan masyarakat dengan tulus dan bermakna. Kami berbesar hati dapat menyokong komuniti di sebalik sambutan Hari Gawai ini dan bersama-sama meraikan detik yang menghubungkan pelbagai generasi, latar belakang dan tradisi.”

Kemeriahan Sambutan yang Kekal Terasa

Walaupun sambutan telah melabuhkan tirainya, kemeriahan Hari Gawai masih terasa melalui gelak tawa, gema muzik dan kenangan yang ditinggalkan di Kampung Annah Rais. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Gawai sekali lagi mencerminkan kekuatan  perayaan yang bukan hanya terletak pada kemeriahannya, tetapi pada semangat komuniti, keterbukaan dan kebersamaan yang dikongsi bersama.

Selamat Menyambut Hari Gawai. Gayu Guru Gerai Nyamai.