pusat berita dan media coca cola malaysia

Malaysian Recycling Alliance (MAREA) Rai Ulang Tahun Pertama

20/01/2022

Majlis pelancaran MAREA

Perikatan jenama-jenama Makanan & Minuman terkemuka bertekad menggiatkan kutipan dan kitar semula sisa pembungkusan

PETALING JAYA, 21 Januari 2022 – Dengan matlamat untuk bersama-sama meningkatkan kadar kitar semula pembungkusan plastik pasca pengguna, Malaysian Recycling Alliance (MAREA) telah meraikan ulang tahun pertamanya hari ini, dalam suatu majlis yang dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) dan YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

MAREA, yang menghimpunkan ahli-ahli yang mendukung wawasan bersama, telah bermula secara rasmi pada 4 Januari 2021, dengan 10 syarikat pengasas berikut, mengikut susunan abjad, Coca‑Cola Malaysia, Colgate-Palmolive Malaysia, Dutch Lady Milk Industries, Etika Group of Companies, Fraser & Neave Malaysia, Mondelēz International (Malaysia), Nestlé Malaysia, Spritzer, Tetra Pak Malaysia dan Unilever Malaysia. Matlamat MAREA ialah untuk menggalakkan penggunaan pembungkusan secara kitaran di Malaysia, menerusi program yang mendorong perubahan tingkah laku sepanjang rantaian nilai, serta menggalakkan kadar pengasingan, kutipan dan kitar semula yang lebih tinggi. 

Majlis pelancaran MAREA

Di majlis perasmian tersebut, MAREA juga bertekad untuk mengitar semula sekurang-kurangnya 25% daripada jumlah pembungkusan ahli-ahlinya menjelang tahun 2025. Usaha ini juga sejajar dengan matlamat negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, dan juga Rangka Kerja Pelestarian Plastik 2021-2030 yang dilancarkan baru-baru ini oleh KASA. 

Di peringkat permulaan, MAREA akan memberi tumpuan kepada usaha mengutip, mengasingkan dan mengitar semula bahan-bahan pembungkusan pasca pengguna, seperti botol polietilena tereftalat (PET), kotak minuman terpakai (UBC), pek polietilena kepadatan tinggi (HDPE) dan pembungkusan plastik fleksibel. 

Semasa berucap di majlis pelancaran rasmi sempena ulang tahun pertamanya, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri KASA, berkata, “Salah satu usaha mencapai matlamat Malaysia Lestari 2030, teras strategik yang dikenal pasti dalam Rangka Kerja Pelestarian Plastik 2021-2030 adalah untuk melaksanakan inisiatif EPR mandatori dan mencapai kadar kitar semula sebanyak 25% untuk pembungkusan plastik pasca pengguna menjelang tahun 2025. Sejajar dengan matlamat ini, KASA menyokong dan mengalu-alukan tindakan proaktif MAREA dan inisiatif sukarela yang sejajar dengan visi dan matlamat Kementerian kami. Kombinasi pelbagai pemegang taruh ini akan mewujudkan ekonomi kitaran yang kukuh dan memastikan Malaysia di atas landasan betul ke arah masa depan yang lebih mampan.”

Turut hadir di majlis pelancaran rasmi ialah, YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Beliau berkata, “Matlamat MAREA adalah sejajar dengan wawasan dan misi KPKT, yang mendukung usaha menyokong pihak-pihak berkuasa tempatan untuk menggalakkan pembangunan sosioekonomi positif demi membina masyarakat yang sihat sejahtera dan makmur. Pengurusan sisa yang bertanggungjawab adalah sebahagian penting daripada usaha ini, agar kita boleh mewujudkan persekitaran yang bersih dan lestari untuk seluruh rakyat Malaysia. Untuk tujuan itu, KPKT juga memainkan peranan untuk memastikan Malaysia mencapai kadar kitar semula sasaran negara. Pelancaran MAREA pada hari ini harus dipuji, kerana menghimpunkan syarikat-syarikat terkemuka dalam industri barangan pengguna laris (FMCG) yang bertekad untuk menerajui inisiatif kitar semula berlandaskan satu matlamat bersepadu.”

MAREA juga telah mengenal pasti kawasan liputan utama di seluruh negara bagi melaksanakan skim kutipan dan kitar semula perintis yang boleh diperluas pada tahun 2022. Menerusi usaha ini, MAREA akan bekerjasama dengan pemegang konsesi pengurusan sisa dan pengutipan sampah di seluruh negara, dan juga pengitar semula lain yang mengumpulkan bahan pembungkusan pasca pengguna tumpuan MAREA.

Pengerusi MAREA, En. Juan Aranols mengulas, “Pemuliharaan alam sekitar harus diutamakan. Kita perlu melindungi sumber alam dan memulihara biodiversiti dan ekosistem yang menyokong sebahagian besar masyarakat. Sisa plastik merupakan cabaran alam sekitar yang penting dan menimbulkan ancaman di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Kita perlu meningkatkan kesedaran tentang isu ini. Berkat sokongan KASA dan KPKT, dan menerusi MAREA, kami sebagai peserta industri akan berganding bahu untuk mempercepatkan pelaksanaan jalan penyelesaian yang lestari dan berkekalan.” 

Pengurus Besar MAREA Cik Pauline Goh tambah lagi, "MAREA menghimpunkan syarikat-syarikat FMCG terunggul yang secara berasingan dan kini bersama mengambil langkah penting dan bermakna untuk mengurangkan sisa plastik dan menambah baik budaya kitar semula di Malaysia. Menerusi perikatan ini, dan dengan penyertaan lebih ramai ahli, kami boleh memanfaatkan kepakaran dan ilmu satu sama lain untuk menganjurkan aktiviti yang akan menyumbang kepada kutipan dan kitar semula lebih tinggi sepanjang rantaian nilai.” 

Perikatan ini juga akan menjalankan program Pendidikan Pengguna dan Kesedaran Awam (CEPA) untuk orang ramai bagi menggalakkan perubahan tingkah laku dengan mendidik mereka tentang kebaikan dan kepentingan kitar semula dan pengasingan sisa dari peringkat sumber lagi. MAREA akan memulakan aktiviti ini pada suku pertama 2022 menerusi projek perintis di Selangor, Pulau Pinang dan Perak. 

Mana-mana syarikat dalam industri FMCG yang berhasrat menyertai MAREA boleh melayari https://www.marea.com.my/ untuk maklumat lanjut.

Mengenai MAREA

Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA) ialah platform EPR sukarela bukan keuntungan pimpinan industri yang pertama. Ditubuhkan pada 4 Januari 2021, MAREA dianggotai 10 syarikat FMCG terkemuka di negara ini, yang bertujuan mencetus perubahan positif dengan membina kesedaran tentang pendekatan ekonomi kitaran untuk pengurusan sisa pembungkusan yang lebih cekap. Dalam usaha untuk membawa kesan yang lebih positif di seluruh rantaian nilai, MAREA berganding bahu dengan Kerajaan Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan lain untuk bersama meningkatkan kadar kutipan dan kitar semula demi mewujudkan Malaysia yang lebih hijau dan lebih bersih serta mencorakkan masa depan yang lebih lestari dengan jumlah sisa buangan lebih rendah. 

Sepuluh syarikat ahli terdiri daripada Coca‑Cola Malaysia, Colgate-Palmolive Malaysia, Dutch Lady Milk Industries, Etika Group of Companies, Fraser & Neave Malaysia, Mondelēz International (Malaysia), Nestlé Malaysia, Spritzer, Tetra Pak Malaysia dan Unilever Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pauline Goh
Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA)

E-mel: pauline@marea.com.my

Alya Nurina atau Farah Iman
acorn communications sdn bhd

Tel: (+603) 7958 8348
Bimbit: +6010-221 8216 (Alya) atau 
+6012  334 1841 (Farah)
E-mel: acorncommunications@acornco.com.my