Melangkaui Pertumbuhan Perniagaan: Mengapa Kestabilan Pendapatan Penting bagi Usahawan Mikro Malaysia
Kajian mendapati 78% peserta mampu memenuhi keperluan asas isi rumah melalui pendapatan perniagaan mereka.
KUALA LUMPUR, 19 September 2026 – Bagi kebanyakan usahawan mikro di Malaysia, perniagaan yang diusahakan bukan sekadar bertujuan untuk perkembangan sahaja, malah merupakan sumber pendapatan penting yang membantu keluarga memenuhi keperluan harian, terutamanya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Dalam sektor perniagaan mikro makanan dan minuman, pendapatan tidak stabil bergantung kepada pelbagai faktor seperti cuaca, jumlah pelanggan dan kos bahan mentah. Ketidaktentuan ini menjadi antara cabaran utama yang dihadapi oleh ramai usahawan mikro. Menyedari realiti tersebut, Projek UMBI, sebuah inisiatif yang telah dilaksanakan selama tiga tahun oleh Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan The Coca‑Cola Foundation, membantu usahawan mikro memperkukuh asas pengurusan perniagaan mereka bagi membina pendapatan yang lebih stabil dan konsisten. Sehingga kini, lebih dari 1,400 usahawan mikro di seluruh negara telah menyertai program ini.
Mengubah Pendapatan Harian yang Tidak Menentu kepada Pendapatan yang Lebih Konsisten
Pendapatan harian yang tidak menentu merupakan cabaran yang lazim dihadapi oleh penjaja dan usahawan makanan yang menjalankan perniagaan dari rumah. Perubahan kecil dalam permintaan, lokasi atau kos operasi boleh menjejaskan kewangan isi rumah.
Penilaian awal daripada tahun pertama program mendapati peningkatan dari segi kestabilan pendapatan dalam kalangan peserta program. Seramai 78% daripada mereka melaporkan mampu memenuhi keperluan asas isi rumah¹, melalui hasil perniagaan masing-masing. Mereka juga menunjukkan keupayaan yang lebih baik untuk merancang perbelanjaan harian dan mengurus komitmen kewangan. Selain itu, sebahagian peserta turut menyatakan mereka kini mampu membantu menyumbang kepada keperluan kewangan ahli keluarga lain. Perkembangan ini mencerminkan peranan penting kepada perniagaan mikro dalam menyokong keluarga dan komuniti setempat.
Pada masa yang sama, majoriti perniagaan yang terlibat masih beroperasi pada skala kecil, dengan kira-kira 86.6% mencatat keuntungan bulanan di bawah RM6,000¹. Angka ini mencerminkan realiti yang dihadapi oleh ramai usahawan mikro. Walaupun perniagaan kekal berskala kecil, pendapatan yang lebih konsisten dapat memberi kesan positif kepada isi rumah yang sedang mengharungi cabaran ekonomi yang tidak menentu.
Mengutamakan Kestabilan Pendapatan, Bukan Semata-mata Pertumbuhan Perniagaan
Menurut penyelidik UKM, bagi kebanyakan perusahaan mikro, kestabilan pendapatan sering menjadi keutamaan berbanding pertumbuhan perniagaan.
“Di peringkat perusahaan mikro, pendapatan yang lebih stabil selalunya lebih penting daripada pertumbuhan. Hasil kajian kami menunjukkan, apabila pendapatan harian menjadi lebih konsisten, isi rumah lebih bersedia untuk menampung keperluan rutin seperti makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan walaupun tanpa peningkatan pendapatan yang besar,” kata Dr. Muhamad Azwan Abd Rahman, Felo Penyelidik, IKMAS, UKM merangkap Ketua Penyelidik Projek.
Dapatan ini menunjukkan bagaimana pendapatan yang lebih konsisten boleh membawa manfaat nyata dalam kehidupan seharian, termasuk perbelanjaan makanan yang lebih teratur serta keupayaan yang lebih baik untuk menampung kos pendidikan dan kesihatan.
“Usahawan mikro memainkan peranan penting dalam komuniti di seluruh Malaysia, dan ramai keluarga bergantung kepada perniagaan kecil sebagai sumber pendapatan harian. Apa yang kami lihat setakat ini menunjukkan bahawa operasi yang lebih konsisten boleh memberi kesan positif kepada kehidupan mereka. Peranan kami adalah untuk menyokong rakan strategik dan komuniti dalam usaha membantu keluarga membina pendapatan yang lebih stabil dari masa ke masa, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.” kata Carlos Pagoaga, Presiden The Coca‑Cola Foundation.
Melalui Projek UMBI, peserta menerima bimbingan praktikal dalam pengurusan operasi harian, asas kewangan dan perancangan perniagaan. Pendekatan ini bertujuan membantu mereka mengurus turun naik pendapatan dengan lebih baik, bukannya mengejar pertumbuhan perniagaan semata-mata.
Kestabilan Isi Rumah Sebagai Asas Ekonomi Tempatan
Wanita merupakan antara golongan utama yang menyertai program ini, termasuk ibu tunggal yang menjalankan perniagaan kecil makanan sebagai sumber pendapatan sambil mengurus keluarga. Penyertaan wanita meningkat pada fasa akhir program, mencerminkan bagaimana pendapatan daripada perusahaan mikro dapat memberikan autonomi ekonomi dalam isi rumah yang pendapatannya sering tidak menentu.
Bagi keluarga-keluarga ini, walaupun perubahan pendapatan yang berlaku mungkin kecil, tetapi sokongan tambahan tersebut tetap dapat membantu mereka memenuhi keperluan harian seperti makanan, utiliti dan pendidikan.
Melalui Projek UMBI, Universiti Kebangsaan Malaysia dan The Coca‑Cola Foundation terus menyokong usahawan mikro dalam usaha mencapai pendapatan yang lebih stabil, sejajar dengan hakikat bahawa kestabilan kewangan di peringkat isi rumah memainkan peranan penting kepada kesejahteraan komuniti untuk jangka panjang.
¹ Berdasarkan kajian yang melibatkan 534 peserta Projek UMBI
**Penemuan ini mencerminkan pengalaman peserta dan tidak membuktikan bahawa perubahan yang dilaporkan berlaku secara langsung akibat pelaksanaan program.