pusat berita dan media coca cola malaysia

Perikatan Industri Strategik Dimeterai untuk Tingkatkan Kutipan dan Kitar Semula Sisa Pembungkusan di Malaysia

10 Syarikat FMCG Merintis Usaha ke Arah Ekonomi Kitaran

14/07/2021

11 anggota malaysian recycling alliance berhad marea

Anggota MAREA termasuk [barisan depan dari kiri ke kanan] Ramjeet Kaur, Pengarah Perniagaan Pengguna Dairy of Dutch Lady Milk Industries, Pauline Goh, Pengurus Besar MAREA, Juan Aranols, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MAREA Nestlé Malaysia Berhad, dan Wanaz Merican, Penasihat Undang-Undang Colgate-Palmolive Malaysia. [Baris kedua, dari kiri ke kanan] Michael Wu, Pengarah Urusan Tetra Pak Malaysia, Khalid Alvi, Ketua Pegawai Eksekutif Etika Group of Companies, Lim Yew Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Malaysia, dan Lisa Tan, Penasihat Undang-Undang Unilever Malaysia. [Baris ketiga, dari kiri ke kanan] Kenny Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Spritzer, James Kane, Pengarah Urusan Mondelēz International Malaysia, dan Sumit Goyal, Ketua Pegawai Kewangan Coca‑Cola Malaysia.

  

PETALING JAYA, 1 April 2021 – Menyedari kesan yang semakin memudaratkan alam sekitar akibat daripada sisa pembungkusan pengguna, para pemain penting industri dalam sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) telah berganding bahu untuk menangani keadaan ini dengan melaksanakan penyelesaian bertumpukan kelestarian. Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA) telah ditubuhkan untuk membolehkan sekumpulan Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR – Extended Producer Responsibility) pimpinan industri sukarela, yang terdiri daripada syarikat-syarikat dengan matlamat yang sama, untuk memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan rantaian nilai dan menambah baik pengumpulan dan pengitaran semula sisa pembungkusan pengguna.

Perikatan pertama seumpamanya di negara ini, MAREA disertai oleh 10 ahli pengasas, yang terdiri daripada (mengikut turutan abjad) Coca‑Cola Malaysia, Colgate-Palmolive Malaysia, Dutch Lady Milk Industries, Etika Group of Companies, Fraser & Neave Holdings Bhd, Mondelēz International, Nestlé Malaysia, Spritzer, Tetra Pak Malaysia dan Unilever Malaysia.

Matlamat MAREA akan lebih berpaksikan kepada usaha meningkatkan kutipan, menggalakkan penggunaan bahan kitar semula dan boleh diperbaharui dan juga mengurangkan ketirisan sisa pembungkusan pengguna ke alam sekitar. MAREA komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan lain yang berhasrat untuk mencapai matlamat membina ekonomi kitaran (circular economy) yang bertujuan menjadikan Malaysia lebih bersih dan lebih hijau.

Antara peranan awal yang perlu dilaksanakan oleh MAREA ialah mengukuhkan kerjasama awam-swasta dan juga meningkatkan pendidikan serta kesedaran pengguna tentang cara untuk melupuskan sisa pembungkusan dengan lebih baik. Satu skim insentif juga akan dilaksanakan menerusi projek perintis di mana sisa pembungkusan pengguna, termasuk botol polietilena tereftalat (PET), kotak minuman terpakai (UBC), polietilena kepadatan tinggi (HDPE) dan pembungkusan fleksibel akan dikumpulkan dan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan kitar semula tempatan.

Pengerusi MAREA dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, En. Juan Aranols, berkata, “Sebagai pemimpin industri, ahli-ahli MAREA memutuskan bahawa kami perlu mengambil tindakan proaktif dengan mewujudkan platform EPR pertama demi menambah baik cara sisa pembungkusan pengguna diuruskan di Malaysia. Menerusi MAREA, kami akan menilai semula bagaimana kami boleh menjadikan rantaian nilai pembungkusan lebih lestari dari segi alam sekitar. Bagaimanapun, perubahan tidak boleh dipacu oleh satu entiti semata-mata dan memerlukan kerjasama proaktif antara syarikat-syarikat FMCG, para penggubal dasar, syarikat-syarikat kitar semula dan pihak-pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi yang sama.”

Kemajuan dalam kelestarian pembungkusan menjadi keutamaan tinggi bagi syarikat-syarikat ahli MAREA, yang masing-masing mempunyai inisiatif dan langkah tersendiri untuk menangani kesan alam sekitar akibat sisa pembungkusan.

Pengurus Besar MAREA, Cik Pauline Goh tambah lagi, "Memandangkan jumlah sisa pembungkusan kian meningkat kebelakangan ini, kebimbangan mengenai alam sekitar juga telah melonjak naik. Matlamat kami ialah untuk menggalakkan pelupusan akhir hayat lestari bagi sisa pembungkusan plastik pengguna menerusi pembungkusan dengan tahap dan kandungan boleh kitar semula yang lebih tinggi. Usaha mengubah tingkah laku pengguna juga penting dalam agenda kelestarian kami dan matlamat ini hanya dapat dicapai menerusi program yang berterusan dan berkesan yang akan kami lancarkan bersama rakan-rakan kerjasama dan pihak-pihak berkepentingan lain.”

MAREA ditubuhkan pada 4 Januari, 2021. Pengumuman hari ini dibuat sempena Hari Kitar Semula Global pada 16 Mac 2021. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.marea.com.my.

Mengenai MAREA

Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA) ialah platform EPR sukarela bukan keuntungan pimpinan industri yang pertama. Ditubuhkan pada 4 Januari 2021, MAREA dianggotai 10 syarikat FMCG terkemuka di negara ini, yang bertujuan mencetus perubahan positif dengan membina kesedaran tentang pendekatan ekonomi kitaran untuk pengurusan sisa pembungkusan yang lebih cekap. Dalam usaha untuk membawa kesan yang lebih positif di seluruh rantaian nilai, MAREA berganding bahu dengan Kerajaan Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan lain untuk bersama meningkatkan kadar kutipan dan kitar semula demi mewujudkan Malaysia yang lebih hijau dan lebih bersih serta mencorakkan masa depan yang lebih lestari dengan jumlah sisa buangan lebih rendah.

Sepuluh syarikat ahli terdiri daripada Coca‑Cola Malaysia, Colgate-Palmolive Malaysia, Dutch Lady Milk Industries, Etika Group of Companies, Fraser & Neave Holdings Bhd, Mondelēz International, Nestlé Malaysia, Spritzer, Tetra Pak Malaysia dan Unilever Malaysia.

Pauline Goh
Malaysian Recycling Alliance Berhad (MAREA)
E-mel: pauline@marea.com.my

Alya Nurina atau Ezza Azira
acorn communications sdn bhd

Tel: (+603) 7958 8348
Bimbit: +6010-221 8216 (Alya) atau
E-mel: +6017 275 3721 (Ezza)
acorncommunications@acornco.com.my