‘Recycle Me!’ 2026 Galakkan Amalan Kitar Semula dalam Kalangan Komuniti Setempat di Kuala Lumpur

  • Coca‑Cola Malaysia dan Alam Flora Environmental Solutions (AFES) Sdn. Bhd. bekerjasama untuk memperluas akses kepada kemudahan kitar semula bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan dalam kalangan komuniti setempat.
  • ‘Recycle Me!’ 2026 kini melangkaui pengumpulan di premis runcit dengan memperkenalkan aktiviti kitar semula secara langsung ke lapan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2026 – Coca‑Cola Malaysia dan Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES), dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), telah melancarkan kempen ‘Recycle Me!’ 2026. Inisiatif berteraskan komuniti ini memperkenalkan program pendidikan kitar semula, kemudahan infrastruktur serta aktiviti kitar semula kepada lapan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.  Program ini bertujuan untuk memudahkan penduduk mengamalkan kitar semula dengan menyediakan lokasi pengumpulan yang lebih dekat dan mudah diakses oleh komuniti setempat, sekali gus meningkatkan penyertaan dalam pengumpulan botol PET dan tin aluminium untuk dikitar semula.

Mengapa Kitar Semula Perlu Digalakkan

Menurut artikel yang diterbitkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun 2021, kira-kira 82.5% daripada sisa yang dihasilkan di Malaysia berakhir di tapak pelupusan. Sebahagian besar daripada sisa tersebut terdiri daripada bahan yang boleh dikitar semula, termasuk botol PET dan tin aluminium. Keadaan ini mencerminkan kepentingan usaha berterusan untuk memperkukuh sistem kitar semula serta menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat. Menerusi Recycle Me! 2026, Coca‑Cola Malaysia bersama rakan kerjasama berusaha memperluas akses kepada kemudahan dan aktiviti kitar semula agar lebih ramai penduduk dapat mengambil bahagian dalam usaha mengitar semula botol PET dan tin aluminium.

Memperkukuh dan Memperluas Usaha Kitar Semula

Dilancarkan pada tahun 2023, ‘Recycle Me!’ pada awalnya memberi tumpuan kepada pengumpulan botol PET menerusi pusat pengumpulan di pasar raya AEON sekitar Lembah Klang. Pada tahun 2026 ini, skop program ini telah diperluaskan untuk merangkumi pengumpulan tin aluminium selain botol PET. Program yang berlangsung dari Oktober 2026 hingga April 2027 ini bertujuan untuk menjadikan kemudahan kitar semula lebih mudah diakses, serta menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk

Komitmen Bersama Terhadap Kelestarian

“Sempena ulang tahun ke-90 Coca‑Cola Malaysia, kami kekal komited untuk menyokong inisiatif yang memberi manfaat dan impak positif kepada komuniti yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kami selama sembilan dekad. Melalui Recycle Me! 2026, kami berharap dapat memudahkan lebih ramai penduduk untuk menyertai  aktiviti kitar semula dan bersama membina budaya kitar semula yang lebih kukuh dalam komuniti. Bersama rakan kerjasama kami, kami berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai penduduk mengitar semula botol PET dan tin aluminium,” kata Selena Tan, Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian (PACS), Coca‑Cola Malaysia.

Impak dan Skala Program

 ‘Recycle Me!’ 2026  menyokong pengumpulan botol PET dan tin aluminium yang layak daripada komuniti yang mengambil bahagian, sekali gus membantu menyalurkan bahan tersebut kembali ke dalam rantaian nilai kitar semula.

Penduduk akan mendapat akses kepada aktiviti pengumpulan bahan kitar semula secara bulanan serta program pendidikan kitar semula. Bagi mengiktiraf penyertaan aktif, program ini turut menawarkan ganjaran dan penghargaan kepada komuniti yang mencatat pencapaian terbaik dalam aktiviti kitar semula. Inisiatif ini juga dijangka memberi panduan yang dapat menyokong pembangunan model kitar semula berasaskan komuniti yang boleh diperluas ke seluruh negara.